ADA PESANAN DI SKRIN PANGGUNG WAYANG!😁

KETIKA bertugas di Jabatan Penerangan Daerah Jerantut, Pahang, ada suatu kejadian lucu berlaku ke atas diri saya dan ia tidak dapat saya lupakan sepanjang hayat.

Kisahnya begini…(suspen ni…lol) ~ suatu malam minggu saya dan salah seorang rakan serumah pergi menonton wayang di panggung wayang yang terletak di kawasan pusat bandar tersebut.

Saya sudah lupa tajuk filem yang kami tonton tetapi yang pasti ia adalah filem komedi Inggeris yang popular pada awal tahun 1980-an.

Kami turut mengajak seorang lagi rakan serumah tetapi katanya tak dapat ikut sama kerana sudah berjanji dengan rakan sepejabatnya untuk pergi memancing ikan jelawat di sungai Pahang.

Dia juga dengan penuh yakin menyatakan bakal membawa pulang banyak ikan jelawat kerana lokasi memancing yang bakal dikunjungi adalah lubuk ikan jelawat.

Jadi tanpa kehadiran teman kaki pancing itu, saya dan rakan yang membonceng motosikal Enduro saya, menuju ke panggung wayang tersebut lalu terus membeli tiket setibanya di situ.

Setengah jam kemudian, pintu panggung mula dibuka dan kami berbaris memasuki panggung sambil mencari tempat duduk berpandukan nombor siri yang tertera di tiket wayang berkenaan.

Tatkala berlegar-legar mencari tempat duduk, tiba-tiba kami disapa oleh salah seorang staf panggung wayang sambil bertanyakan apa nombor yang tertera ditiket.

Setelah kami maklumkan, staf panggung wayang itu meminta kami untuk mengikutnya sambil menunjukkan kerusi tempat duduk kami di bahagian kanan tengah panggung tersebut.

Kami lalu mengambil tempat duduk sambil mula mengunyah kacang kuda yang dibeli di sebuah gerai di bahagian luar panggung wayang berkenaan.

Beberapa minit kemudian tayangan pun bermula dan sekali sekala terdengar gelak tawa para penonton yang sungguh terhibur dengan filem itu.

Kira-kira sejam kemudian, tiba-tiba MUNCUL di bahagian skrin panggung wayang itu…PERHATIAN…ENCIK RAZMAN RAKAN SERUMAH TUNGGU DI LUAR….saya dan rakan sungguh terkejut apabila membaca tulisan makluman itu.

 Dalam keadaan hati yang berdebar-debar, saya meminta rakan menunggu sahaja di dalam panggung lalu bergegas sambil meraba-raba mencari jalan keluar dari panggung wayang itu.

Setiba di luar pintu masuk, tercegat rakan serumah di situ sambil memohon maaf kerana mengganggu.

Saya lalu bertanya ada apa masalah dan dia memaklumkan kehilangan kunci rumah ketika asyik memancing dan tidak membawa  kunci simpanan.

Menurut rakan kaki pancing itu dia dan temannya pulang awal daripada memancing kerana sudah meraih banyak ikan jelawat dan bercadang memasak lalu menjamu kami menikmati masakannya sepulang dari menonton wayang.

Rakan saya kaki pancing ini adalah staf sebuah bank di Jerantut dan sememangnya pakar memasak gulai asam pedas ikan jelawat.

Namun setiba di rumah, dia baru menyedari kehilangan kunci rumah dan bernasib baik kerana mengetahui kedudukan saya dan rakan ketika itu.

Dipermudahkan lagi secara kebetulan staf yang menguruskan projektor panggung wayang itu adalah rakan baik teman serumah kami itu.

Maka itulah puncanya kenapa nama saya tiba-tiba muncul di skrin panggung wayang berkenaan.

Terima kasih kepada staf bahagian projektor panggung wayang itu kerana membantu memudahkan urusan.

Saya lalu menyerahkan kunci rumah kepada rakan serumah itu dan bergegas masuk semula ke panggung untuk menyambung tontonan.

Malam itu, sepulang dari menonton wayang, kami dihidangkan masakan gulai asam pedas ikan jelawat oleh rakan kaki pancing berkenaan.

Begitulah Alkisahnya nostalgia yang saya paparkan di blog ini untuk menjadi bahan bacaan semua termasuk generasi saya yang seterusnya.

Author: onerazzc
Journalist here and there since 1984 Android Mobile Application Developer Internet Marketer

Leave a Reply