NOSTALGIA ~ Paranormal kah ini?

PERNAHKAH anda mengalami situasi yang menurut segelintir orang seperti peristiwa berunsur paranormal dan sehingga kini masih tidak berupaya mencari jawapannya.

Pic by Onerazz

Ok melalui penulisan secara santai ini saya dari semasa ke semasa, akan menceritakan beberapa pengalaman paranormal saya yang jika tak salah ingatan bermula sejak di zaman sekolah rendah lagi.

Kali pertama saya alami ketika masih belajar di darjah empat pada musim cuti sekolah di kampung Tok Ki (bapa arwah ayah).

Ketika itu saya dan beberapa orang sepupu (usia kami tidak jauh beza) berjalan kaki beramai-ramai menuju ke satu kawasan berpasir di tebingan sungai untuk menyaksikan persembahan Wayang Kulit.

Persembahan Wayang Kulit saya kira ketika itu merupakan salah satu aktiviti seni yang dapat menyajikan hiburan kepada penduduk setempat.

Penonton bukan sahaja di kalangan orang dewasa malah turut menjadi tumpuan kanak-kanak sekolah apatah lagi bila persembahan diadakan pada musim cuti penggal persekolahan

Masih terngiang di telinga saya sapaan sepupu saya Zulkarnain atau nama manjanya Zubir (kini sudah kembali ke Rahmatullah, Al-Fatihah,) mengingatkan saya agar bersiap sedia lebih awal kerana akan beramai-ramai menuju ke lokasi panggung persembahan Wayang Kulit tersebut yang jaraknya kira-kira empat kilometer dari rumah Tok Ki juga merangkap Ketua Kampung.

Kami mula berjalan kaki ke lokasi panggung Wayang Kulit dan sejam kemudian tiba di tebingan sungai terbabit.Dari jauh kami lihat panggung berdiri megah sambil disinari cahaya lampu gasolin dengan patung-patung watak seperti Raja Hanuman Kera Putih dan watak komedi Wak Yah serta Pak Dogol terpacak di depan layar putih bermandikan cahaya satu lagi lampu gasolin di bahagian dalam panggung.

Ketika itu para pemain muzik termasuk peniup serunai dan pemukul gendang sedang menguji alat muzik masing-masing.

Kira-kira setengah jam kemudian Tok Dalang pun memulakan persembahan Wayang Kulit dan sekali sekala terdengar hilai tawa para penonton dek aksi lucu oleh watak-watak komedi Wak Yah dan Pak Dogol.

Saya yang agak keletihan mungkin kerana berjalan kaki ke lokasi itu dan beberapa orang sepupu agak terhibur dengan persembahan tersebut yang berlangsung sehingga larut malam.

Tiba-tiba saya terbangun dek rasa dingin pasir tebingan sungai di depan panggung tersebut. Ya Allah, tanpa disedari rupa-rupanya saya tertidur di atas pasir tebingan sungai tersebut.

Saya memanggil nama sepupu-sepupu saya namun tak seorang pun ada di situ malah para penonton lain pun semuanya sudah pulang.

Begitu juga dengan Tok Dalang serta para pemain gendang dan serunainya.Tiada seorang pun lagi berada di situ.

Selepas peristiwa itu saya ada bertanya kepada beberapa orang sepupu kenapa mereka tak bangunkan saya dari tidur.

Kata mereka, ‘Kami ada mencari mu tapi tak jumpa meskipun kita semua duduk berdekatan tatkala di depan panggung’.

Saya kira sewaktu rasa kedinginan dan tersedar dari tidur itu, jam mungkin sudah melangkau pukul 2 atau 3 pagi. Selepas gagal mengesan keberadaan sepupu yang lain, saya memberanikan diri meredah kegelapan malam dan bertekad berjalan pulang seorang diri.

Selang beberapa meter berjalan, tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian putih dan berserban menyapa saya dari belakang. Saya tersentak tetapi segera diberi semangat oleh lelaki itu bahawa semuanya akan selamat dan dia akan sepantas kilat akan.menghantar saya pulang ke rumah Tok.Ki.

Saya terkejut apabila lelaki itu menyebut untuk menghantar saya pulang ke ‘rumah Tok Ki’ sedangkan saya belum pun lagi memaklumkannya. Sepanjang menghantar saya pulang dia meminta saya berzikir ‘Ya Allah’ sebanyak mungkin katanya bagi ‘menyegerakan’ tiba ke destinasi. Sesungguhnya jika anda bertanya bentuk rupa wajah lelaki berserban itu, maaf saya tidak dapat menyatakannya kerana saya tidak berani memandang ke arah wajahnya dan cuma mendengarkan suaranya sahaja.

Lagipun ia berlaku pada dinihari dan perjalanan kami tidak dibantu lampu suluh atau alat pencahayaan lain.

Jika perjalanan pergi ke lokasi Wayang Kulit mengambil masa sejam dengan berjalan kaki, namun sehingga ke hari ini saya masih belum menemui jawapan kenapa semasa dihantar pulang oleh lelaki berpakaian putih dan berserban itu cuma mengambil masa sepuluh minit.

Bukan terbang tetapi juga berjalan kaki.Inilah pengalaman paranormal yang saya alami sendiri. Apakah mungkin ia adalah ujian kerana sehari sebelum kejadian saya ada menerima ijazah amalan doa yang diperturunkan oleh Almarhum Tok Ki. Namun apabila saya memaklumkan kepada Tok Ki yang merupakan Ketua Kampung yang berwibawa, mengenai kejadian itu, Tok Ki sekadar tersenyum.dan membisikkan pada ku ‘Bagus Cu’

Namun…sehingga kini saya masih tertanya-tanya siapakah lelaki berserban dan berpakaian putih itu?…

Video sedutan sebahagian persembahan Wayang Kulit.
onerazzc
Author: onerazzc
Journalist here and there since 1984 Android Mobile Application Developer Internet Marketer