Terpulang kepada pengusaha feri Limbang-Labuan untuk beroperasi

LIMBANG: Perkhidmatan pengangkutan feri dari Limbang ke Labuan sudah diluluskan untuk beroperasi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sejak Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan di Sarawak pada Ogos lepas.

Residen Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Bencana Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi berkata justeru, keputusan untuk beroperasi terpulang kepada pengusaha feri itu sendiri.

“JPBNS sebenarnya sudah meluluskan pengoperasi perkhidmatan feri dari Limbang ke Labuan sejak PPN Fasa Tiga dilaksanakan di negeri ini.

“Cuma keputusan itu bergantung kepada pengusaha feri itu sendiri sama ada ingin meneruskan perkhidmatan tersebut demi keperluan penduduk khusus anak-anak yang ingin menyambung pengajian ke Labuan,” katanya kepada media semalam.

Sebelum ini, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail mahu JPBNS memberi kelonggaran untuk membuka semula perkhidmatan feri dari Limbang ke Labuan sebagaimana pengoperasian semula penerbangan udara dari Labuan

Langkah itu amat perlu katanya, memandangkan ramai anak-anak tempatan yang belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan kolej kemahiran di Labuan.

Ahmad Denney memberitahu pengoperasian perkhidmatan feri terbabit jika beroperasi, perlu mematuhi garis panduan (SOP) dalam mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Pada masa ini Limbang mempunyai dua pengusaha feri yang menjalankan perkhimatan feri dari Limbang ke Labuan.

Credit: Utusan Borneo Online